Isu Viral

Daging Maut, Ayam Melecur

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

Daging Maut, Ayam Melecur, Udang Meletop! Biar betul? Tatkala mendengar menu yang sering menjadi pilihan pelanggan, memang timbul pelbagai persoalan mengenai hidangan yang mempunyai nama ‘maut’ itu.

Namun, itu kebenarannya. Nama hidangan ‘signature’ restoran Tumis@Teak 5 yang dibuka pada 2012 di Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur ini bukan saja unik, malah rasanya juga ‘terangkat’.
Tertarik dengan hidangan Nasi Daging Maut dan mahu merasai sendiri apa yang ‘maut’ itu, penulis mengatur masa untuk berkunjung ke restoran yang mengetengahkan pelbagai makanan tradisional ini.
Sekilas pandang, hidangan Daging Maut yang lengkap dengan nasi dan telur dadar ini seperti menu daging masak hitam. Namun, selepas merasainya, ia memang ‘maut’.
Tahap pedas masakan maut ini memang tidak boleh dipertikaikan sehingga pelanggan yang gemar makan pedas juga tidak tahan, tetapi yang peliknya, ia sangat sedap.
Pemiliknya, Norhayani Mohd Noor berkata, Nasi Daging Maut antara menu paling digemari pelanggan termasuk dari luar negara seperti Singapura dan Perancis.
Menurutnya, resipi rekaannya sendiri ini dinamakan sedemikian bagi menggambarkan hidangan itu sangat pedas.
“Untuk memasak juadah ini, selain bawang merah, bawang putih, serai dan kicap manis, cili padi yang banyak digunakan menjadi bahan utamanya.
“Jika daging yang dimasak seberat empat kilogram (kg), saya gunakan cili padi separuh daripada berat daging iaitu 2kg,” katanya.
Selain pedas, hidangan itu juga unik kerana ia dimasak tanpa menggunakan garam dan gula.
“Biasanya, makanan pedas akan diletakkan sedikit gula, tapi Nasi Daging Maut tidak menggunakannya kerana digantikan dengan kicap manis.
“Daging dimasak lebih empat jam supaya empuk dan semua bahan masakan sebati terutama cili padi,” katanya.
Hidangan Ayam Melecur dan Udang Meletop juga menggunakan konsep sama - ayam dan udang sangat pedas.

Selain itu, Nasi Ambeng antara hidangan yang mendapat permintaan tinggi.
Menariknya, selain dihidangkan di dalam talam, nasi ambeng di sini berkuah berbanding biasanya kering.
Masih mengekalkan bahan utama nasi ambeng iaitu sambal dan mi goreng, lauk utamanya berkuah iaitu ayam masak lemak cili api.
“Kalau ikutkan kepada penyediaan asal nasi ambeng terutama bagi masyarakat Jawa di Singapura, lauk yang dihidangkan biasanya kering.
“Namun, bagi memenuhi selera masyarakat tempatan yang suka makanan berkuah, ia diolah sedikit dan ayam masak lemak cili api dipilih menjadi menu utamanya,” katanya.
Ditanya kenapa penyediaan hidangan di restoran itu pedas, Norhayani yang mesra dipanggil Kak Yani berkata, idea itu timbul selepas sukar mencari restoran yang menyajikan makanan yang betul-betul pedas dan dimasak seperti di rumah.
“Dengan andanya pelbagai menu pedas di Tumis@Teak 5, penggemar makanan pedas boleh merasai sendiri ‘sengat’ dan keenakan menu ditawarkan,” katanya.
Penggunaan bahan masakan segar dan dibuat sendiri tanpa penggunaan pes dan bahan perisa menjadikan makanan disajikan cukup menyelerakan.
Menu lain yang perlu dicuba ialah Nasi Ayam Cili Kering, Nasi Ayam Melecur, Nasi Udang Meletop dan Nasi Chicken Cashewnut.
Apa yang menarik, selesai menjamu selera, loceng klasik bersaiz besar di kaunter bayaran akan dibunyikan bagi meraikan pelanggan yang berjaya menikmati hidangan ‘super’ pedas itu.
Restoran ini juga menyajikan pelbagai lauk tradisional bagi pengunjung terutama pada waktu makan tengah hari.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 10:47 AM

0 Comments: